fbpx

Ibu ‘minah saleh’, bakat memasak Farahdhiya daripada siapa?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARAHDHIYA

PERTAMA kali bertemu empat mata dengan pemilik nama pentas Farahdhiya ini, penulis tidak menyangka rupa-rupanya figura yang memiliki pesona anggun itu cukup peramah dan mesra dengan sisi humor yang tidak disangka.

Sepanjang berbual dengan wanita berkulit putih mulus itu, beberapa kali penulis terpaksa menahan ketawa dek lawak spontan yang terkeluar daripada mulutnya.

Dalam keriuhan ramai ketika ditemui dalam sebuah majlis baru-baru ini, setiap cerita yang terbit daripada bibir Farahdhiya cukup jelas. Dia mudah menjadi selesa dengan suasana.

Namun, dalam keceriaan yang dipamerkan secara luaran, dalaman Farahdhiya sebenarnya tidak seperti yang disangkakan.

Hilang teruja

Menyambut Aidilfitri untuk tahun kedua tanpa kelibat lelaki bergelar bapa di sisi membuatkan Farahdhiya cukup hiba menahan rindu. Rindu kepada insan yang pergi buat selama-lamanya.

Farahdhiya seakan-akan hilang rasa teruja untuk meraikan Aidilfitri selepas pemergian Allahyarham bapanya, Mohd. Amin Zubir, pada Januari 2020.

FARAHDHIYA tidak lagi teruja untuk menyambut Aidilfitri selepas pemergian bapanya sejak 2020.

“Sejujurnya sejak arwah ayah meninggal dunia, saya hilang rasa teruja untuk menyambut hari raya. Sepatutnya raya perlu diraikan. Tapi saya langsung tidak ada rasa teruja untuk sambut lebaran.

“Kedengaran memang ‘tidak sedap’, tapi itulah hakikat yang saya rasa,” katanya.

Dalam serba hilang rasa, wanita berusia 37 tahun itu bagaimanapun tetap memasak juadah-juadah raya untuk dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung ke rumah.

Katanya, memasak juadah raya sudah menjadi rutin setiap tahun, terutama makanan yang mendapat permintaan tinggi daripada keluarga dan rakan-rakan iaitu sambal goreng jawa.

“Setiap kali hari raya, saya akan memasak sendiri enam hingga ke tujuh jenis juadah hari raya. Antara juadah yang wajib ada ketika hari raya ialah sambal goreng jawa.

“Memang ramai yang mengidam untuk makan masakan sambal goreng jawa saya,” katanya.

Jaguh memasak

Melihat pada penampilan luaran pelantun lagu Bertakhta Di Hati itu, siapa sangka wanita kacukan Melayu-Inggeris itu cukup handal di dapur.

Sebutkan sahaja juadah kampung sekali pun, Farahdhiya tidak kekok untuk ‘bersilat’ di dapur.

Sekadar berkongsi cerita, Farahdhiya berkata, ramai yang tidak menyangka dia memiliki kemahiran memasak, terutama ibu sendiri.

BIARPUN emosi rayanya tidak sehangat sewaktu hayat bapanya masih ada, Farahdhiya tetap memasak pelbagai jenis juadah untuk hidangan rakan-rakan dan sanak-saudara yang berkunjung ke rumahnya sepanjang Syawal.

“Ramai sebenarnya yang bertanya sebab ibu saya, Aishah Jeannette Amin seorang ‘minah saleh’ dan memang tidak gemar memasak.

“Saya memang membesar dengan makan di luar sehinggakan saya pernah bergurau dengan ibu, seandainya dia meninggal dunia suatu hari nanti, tiada satu pun ‘air tangannya’ yang akan saya rindukan. Sebab ibu memang tak memasak.

“Saya banyak belajar memasak daripada mak cik, iaitu kakak kepada arwah bapa ketika dia tinggal bersama kami sewaktu saya masih bersekolah,” jelasnya.

Biarpun mengakui memasak suatu tugas yang renyah dan memenatkan, namun Farahdhiya berasa puas dan seronok dengan aktiviti tersebut.

“Memasak memang penat lebih-lebih lagi saya pula jenis memasak dalam kuantiti yang banyak. Tapi saya rasa puas dan seronok bila tengok orang lain berselera makan masakan saya.

“Ada kawan-kawan memang menunggu masakan saya,” kongsinya.

Ziarah ibu

Selepas dua tahun tidak bertemu dengan ibunya yang menetap di London, England, Farahdhiya teruja dan tidak sabar untuk melawat wanita itu dalam masa terdekat.

Kongsi Farahdhiya, kali terakhir dia bertemu dengan ibunya sewaktu wanita itu datang ke Malaysia untuk menghadiri pengebumian arwah bapanya dua tahun lalu.

“Insya-Allah kalau tiada apa-apa halangan, saya dan abang akan terbang ke London untuk melawat ibu di sana sekitar bulan Julai atau Ogos nanti.

“Sudah dua tahun saya tidak bertemu dengan ibu selepas kali terakhir kami berjumpa pada Januari 2020. Selepas ayah meninggal, negara umum pula Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020. Seluruh dunia ‘dikunci’ pada waktu itu.

“Saya tidak sabar untuk ke London dan akan menghabiskan masa sekitar dua hingga empat minggu (sebulan) bersama ibu. Macam-macam aktiviti saya sudah rancang ketika di sana nanti,” jelasnya.

WANITA berkulit putih gebu ini mempunyai perancangan untuk membuka sebuah restoran suatu hari nanti.

Dalam perkembangan terkini, Faradhiya juga teruja apabila bakal muncul dengan sebuah lagu baharu yang dicipta sepenuhnya oleh diri sendiri.

Lagu yang diberi judul Tak Terganti itu dicipta sendiri Farahdhia secara spontan ketika terkenangkan arwah bapanya.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ini juga saya akan lancarkan single baharu ciptaan sendiri sepenuhnya. Lagunya berjudul Tak Terganti yang menceritakan tentang ayah.

“Kalau nak tahu, ilham lagu ini tercetus ketika saya sedang mandi selepas pulang daripada penggambaran.

“Tiba-tiba saya teringat tentang arwah ayah dan menangis. Ketika itu jugalah melodi lagu ini keluar secara spontan,” ujarnya.

Mengakui kelebihan mencipta lagu bukan suatu kerja mudah, Farahdhiya teruja selepas 18 tahun berkecimpung dalam dunia seni hiburan, akhirnya dia memiliki buah tangan yang dihasilkan sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI