PETALING JAYA – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memuji tindakan seorang individu memaklumkan ingin menghentikan bantuan yang diterima kerana telah stabil.
LZS dalam satu hantaran di Facebook berkata, perkara itu telah dimaklumkan sendiri oleh indvidu berkenaan yang menyatakan ada yang lebih layak daripada dirinya untuk menerima bantuan terbabit.
Menurutnya, lelaki tersebut yang sebelum ini bekerja sebagai pembaiki barangan elektronik berpendapatan sekitar RM1,300 menanggung tiga orang anak dan seorang isteri yang tidak bekerja.
“Walaupun berat hati untuk memohon zakat, tapi dia terpaksa memohon atas faktor kesihatan dan perlu menjalani pembedahan esofagus yang menyebabkan dia tidak boleh bekerja.
“Tetapi alangkah terkejut kami apabila dimaklumkan sendiri olehnya bahawa dia ingin keluar daripada Zakat Selangor kerana sudah stabil dan terdapat golongan yang lebih layak berbanding dirinya,” katanya.
Tambahnya lagi, LZS turut memuji perwatakan lelaki terbabit yang disifatkan sangat merendah diri dan jujur kerana tahu akan haknya ketika bergelar seorang asnaf dahulu.
“Semoga Allah permudahkan dan suburkan rezeki beliau sekeluarga sepanjang zaman atas sifat jujur yang beliau tunjukkan. Moga menjadi teladan buat kita semua,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE