Tuntut planet selepas pengkaji UK kemuka teori penemuan baharu
MOSCOW – Ketua Agensi Angkasa Lepas Rusia, Roscosmos mengisytihar Zuhrah sebagai milik Rusia selepas satu kajian mendapati ada kehidupan di planet itu, lapor Daily Mail.
Semasa berucap di pameran HeliRussia 2020, Dmitry Rogozin mendakwa Rusia adalah yang pertama dan satu-satunya negara yang mendarat di planet itu, menurut laporan The Moscow Times.
Kenyataan beliau dibuat selepas satu kumpulan pakar dari United Kingdom (UK) menyatakan mereka menemui tanda-tanda kewujudan fosfina di atmosfera Zuhrah, menandakan planet itu ada menyokong sesuatu proses kimia yang tidak diketahui atau kehidupan.
Bagaimanapun, Rogozin mendakwa penyelidikan saintis Rusia sebelum ini mendapati Zuhrah tidak sesuai didiami.
“Kapal angkasa mengumpul beberapa maklumat mengenai planet itu, ia seperti neraka di situ,” katanya.
Ketika Rogozin membuat tuntutan itu, Rocosmos pada awal minggu lalu mengumumkan rancangan melancarkan misi tersendiri ke planet itu tanpa melibatkan kerjasama global.
Rancangan misi terbaharu itu akan dijalankan bersama satu misi lain, Venera-D dengan Rusia mengambil bahagian bersama Amerika Syarikat pada 2026 atau 2031.
Penyelidikan oleh UK dijalankan oleh ahli astronomi Jane Greaves dari Universiti Cardiff bersama sekumpulan pakar dengan meneliti Zuhrah menggunakan Teleskop James Clerk Maxwell di
Pusat Pemerhatian Mauna Kea, Hawaii dan teleskop ALMA di Chile.
Di Bumi, fosfina ialah gas tanpa warna dan ada bau seperti bawang putih atau ikan reput. Ia terhasil disebabkan mikroorganisma tertentu dengan kewujudan oksigen. – Agensi