SEBERANG PERAI – Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang belum menerima sebarang aduan berhubung kenaikan harga ayam atau sayur-sayuran di negeri ini.
Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pada masa yang sama, bekalan untuk kedua-dua barangan itu juga dilaporkan masih mencukupi buat masa ini.
“Berhubung kenaikan harga minyak masak pula, kita dapati ia bukan (kenaikan) minyak sawit tulen. Sebaliknya, ia hanya melibatkan minyak masak jenis sebatian sahaja.
“Apapun, KPDNHEP Pulau Pinang akan terus menjalankan pemantauan terhadap harga dan bekalan barang-barang kawalan ini dengan dibantu oleh 63 orang Pegawai Pemantau Harga di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Rancak Aidilfitri di, Seberang Jaya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sebanyak 19,666 pemeriksaan telah dijalankan oleh KPDNHEP negeri untuk tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu, 364 kes telah direkodkan dengan 269 kompaun bernilai RM95,000 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang paling banyak direkodkan ialah harga mahal dan tiada tanda harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 iaitu dengan 184 kompaun berjumlah RM55,400.
“Kesalahan lain yang banyak direkodkan juga ialah di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan 141 kompaun berjumlah RM37,100,” ujarnya.
Tambah Mohd. Ridzuan, pihaknya tidak akan lagi memberi amaran sekiranya mengesan sebarang kesalahan ketika pemeriksaan dilakukan, sebaliknya akan terus mengambil tindakan seperti mengenakan kompaun dan sebagainya.
“Justeru, saya meminta kepada semua peniaga supaya mengikut peraturan yang ditetapkan dan kami akan menggiatkan operasi harian untuk tujuan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE