SABAK BERNAM – Seorang pemilik rumah di Tali Air 6, Sekinchan di sini, terkejut menemui seekor biawak yang ‘berendam’ dalam kolah bilik mandi kediamannya semalam.
Penemuan reptilia seberat 10 kilogram (kg) itu disedari lelaki berusia 26 tahun yang segera menghubungi bomba untuk tindakan lanjut.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 5.11 petang.
Katanya, sepasukan tiga anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikerah dalam operasi itu.
“Pemeriksaan mendapati biawak sepanjang 1.5 meter itu masih berada di dalam kolah bilik mandi tersebut.
“Anggota kita kemudian menggunakan peralatan khas untuk menangkap haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelas Norazam, pihaknya terpaksa berwaspada bagi mengelak biawak bersaiz besar itu bertindak agresif termasuk melibaskan ekornya.
“Reptilia itu berjaya ditangkap dalan tempoh 25 minit dan tiada kecederaan dilaporkan.
“Operasi berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.44 petang dan biawak itu dilepaskan pihaknya ke kawasan hutan yang jauh daripada penempatan penduduk,” katanya. -KOSMO! ONLINE