PETALING JAYA – Dua tahun mengelak dari terkena jangkitan Covid-19, pelakon Ummi Nazeera reda selepas dirinya disahkan positif virus tersebut.
Menerusi hantaran dalam InstaStory, Ummi tidak menolak kemungkinan dijangkiti wabak maut terbabit selepas menghadiri acara rumah terbuka sempena Aidilfitri.
“Saya ada menghadiri jemputan rumah terbuka dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka tanpa bersalaman dengan orang lain.
“Namun, ketika menjamu selera, seperti biasa saya menanggalkan pelitup muka. Mungkin benda nak berlaku,” katanya yang kini sedang menjalani kuarantin kendiri memasuki hari ketujuh di kediamannya.
Pada masa sama, pelakon filem Bisik Pada Langit itu bersyukur hanya dirinya yang dijangkiti tanpa melibatkan ahli keluarga terdekat yang lain.
“Suami dan dua anak tidak dijangkiti. Semuanya bermula selepas kepala rasa berpusing-pusing dan pening berpanjangan.
“Saya juga alami simptom lain seperti demam, sakit tekak, kepala, telinga dan badan selain batuk berterusan,” katanya yang kini semakin pulih dari jangkitan tersebut.
Hingga semalam, negara mencatatkan 3,321 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia sebanyak 4, 467,061 dengan jumlah keseluruhan kematian sebanyak 35,598 orang.- KOSMO! ONLINE