fbpx

Lelaki nyaris rentung, kereta terlibat nahas terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Chevrolet dinaiki mangsa yang terbakar 60 peratus selepas terlibat dalam nahas di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, Melaka, pagi tadi.

MELAKA – Seorang lelaki sempat dikeluarkan orang ramai sebelum kereta dinaikinya terbakar dalam kemalangan di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, pagi tadi.

Seorang saksi, Abdul Razak Ali, 37, berkata, lelaki berusia 48 tahun itu diselamatkan oleh beberapa penduduk kampung selepas melihat kereta jenis Chevrolet dipandu mangsa terbabas kira-kira pukul 8.30 pagi.

“Ketika kejadian saya dan rakan sedang bersarapan di kedai makan berhampiran jalan utama perindustrian.

“Tiba-tiba sebuah kereta telah terbabas merempuh pembahagi jalan dan berpusing beberapa kali sebelum melanggar sebuah kereta Proton Saga di bahu jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Tambahnya, pelanggaran itu menyebabkan bahagian enjin kereta dipandu mangsa terbakar.

“Beberapa penduduk kampung bergegas memeriksa keadaan mangsa dan membantu mengeluarkannya sebelum api menjadi marak.

“Mangsa dilihat mengalami kecederaan di pinggang dan dikejarkan ke hospital menggunakan kenderaan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) pasukan bomba yang tiba beberapa minit kemudian,”katanya.

Ujarnya lagi, pada masa sama terdapat penduduk yang cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api, manakala dia membantu mengawal lalu lintas sebelum pasukan bomba tiba.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Pengawai Bomba Kanan II Ahmad Nyat berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 8.37 pagi dan sepasukan enam anggota serta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi kita dapati sebuah kereta Chevrolet terbakar 60 peratus dan mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan EMRS untuk rawatan lanjut dan operasi berjaya dikawal pada pukul 8.48 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI