GEORGE TOWN – Jumlah kes mingguan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang direkodkan di negeri ini sejak awal tahun ini sehingga 7 Mei mencatatkan peningkatan iaitu mencecah 959 kes berbanding 102 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 8.4 kali ganda.
”Penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti taska, tabika, tadika, pusat jagaan dan pra-sekolah.
”Bagi tahun ini, sebanyak 54 kluster HFMD dilaporkan berbanding hanya tujuh kluster tahun lalu di iaitu peningkatan sebanyak 6.7 kali ganda,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Norlela lagi, setakat ini, jumlah kumulatif premis yang ditutup adalah 54 premis dan semua premis telah beroperasi seperti biasa di mana pembukaan semula premis terakhir terlibat adalah pada 3 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE