KEMAMAN – Taktik dua bot nelayan Vietnam menyamar sebagai tempatan gagal apabila berjaya dikesan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kemaman pada kelmarin.
Sewaktu ditahan antara pukul 1.50 tengah hari hingga 2.35 petang itu, kesemua 10 nelayan Vietnam terbabit yang ketakutan telah bertindak menyorok di bilik enjin bot masing-masing.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, kedua-dua bot mencurigakan itu dikesan pada kedudukan 26 batu nautika timur laut perairan Kuala Kemaman dekat sini.
“Pemeriksaan mendapati kedua-dua bot itu tidak dilengkapi alat pengesan vesel penangkapan ikan Jabatan Perikanan Malaysia yang diwajibkan kepada bot nelayan tempatan.
“Kesemua 10 nelayan asing yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 47 tahun juga gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah,” katanya di sini hari ini.
Rashidilhadi berkata, kedua-dua bot juga tidak memiliki lesen menangkap ikan di perairan negara oleh Jabatan Perikanan.
Tambah beliau, APMM menyita dua bot, minyak diesel kira-kira 4,000 liter dan peralatan menangkap ikan yang keseluruhan dianggarkan RM2 juta. – KOSMO! ONLINE