COLOMBO – Pihak berkuasa Sri Lanka mengeluarkan arahan menembak kepada pasukan keselamatan bagi meredakan keganasan yang tercetus di negara itu sehingga menyaksikan banyak bangunan dan kenderaan dibakar selain mengakibatkan kematian.
Ketika beribu-ribu anggota keselamatan bergelut menguatkuasakan perintah berkurung, Kementerian Pertahanan berkata, polis dan tentera dibenarkan menembak sesiapa sahaja yang dilihat memusnahkan harta benda awam atau mengancam nyawa.
Isnin lalu, para penyokong kerajaan menyerang penunjuk perasaan menggunakan kayu dan belantan, sekali gus mencetuskan keganasan dan kacau-bilau bagi demonstrasi yang dijalankan secara aman selama berminggu-minggu.
Setakat kelmarin, lapan individu disahkan terkorban.
Tunjuk perasaan bagaimanapun diteruskan semalam meskipun ketika perintah berkurung dilaksanakan, dengan ramai yang tidak mengendahkan amaran tembakan dan terus membakar bangunan serta kenderaan.
Polis terpaksa melepaskan tembakan di udara di dua lokasi untuk meleraikan orang ramai yang cuba membakar kenderaan.
Seorang penunjuk perasaan, Chamal Polwattage berkata, dia menjangkakan demonstrasi akan berterusan dan berikrar tidak akan berundur selagi Presiden Gotabaya Rajapaksa tidak meletak jawatan.
“Orang ramai berasa marah atas serangan yang dilancarkan ke atas kami Isnin lalu. Namun, ramai sukarelawan membantu kami dengan membawa air dan makanan,” katanya.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa meletak jawatan, namun tindakannya itu tidak dapat meredakan kemarahan penduduk kerana adiknya, Gotabaya masih berkuasa di negara itu. – AFP