Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Pasukan Pulau Pinang mengekalkan momentum apabila berjaya merekodkan kemenangan berganda 2-1 menentang Kuala Lumpur pada aksi Liga Premier yang berlangsung di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, George Town di sini malam tadi.
Gol pertama tuan rumah hadir menerusi jaringan pemain import dari Brazil, Endrick Dos Santos Prafita pada akhir babak pertama iaitu minit ke-45 selepas beberapa kali cubaannya gagal menembusi gawang pasukan lawan.
Pada aksi separuh masa pertama, kedua-dua pasukan dilihat saling membalas serangan.
Cubaan pemain import tuan rumah, Changhoon Lee pada minit 23 dan 30 berjaya ditepis penjaga gol Kuala Lumpur, Muhammad Zamir Selamat.
Namun, skuad kendalian Ketua Jurulatih Kuala Lumpur, Mohd. Nizam Adzha Yusoff dilihat cuba bangkit menyamai jaringan sehingga dua minit terakhir masa tambahan separuh masa pertama namun semua percubaan gagal menepati sasaran.
Bagaimanapun, pemburuan pasukan pelawat untuk mencipta gol penyamaan pada separuh masa kedua berjaya direalisasikan pada minit ke-71 menerusi jaringan Indra Putra Mahayuddin.
Gol penyamaan itu jelas menyuntik semangat skuad kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid untuk terus bekerja keras.
Hasilnya, pemain importnya tuan rumah ,Rafael Vitor Santos De Freitas berjaya menjaringkan gol kedua buat pasukan Harimau Kumbang pada minit ke-93.
Kedudukan Pulau Pinang kekal terikat 2-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Pasukan Pulau Pinang kini menghuni tangga teratas Liga Premier selepas menang tipis 2-1 menewaskan Johor Darul Ta’zim II pada aksi perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru Sabtu minggu lalu. – K! ONLINE