fbpx

Operasi pindah minyak Victoria STS berjaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA -Straits Energy Resources Berhad (Straits) melalui unitnya,  Victoria STS (Labuan) Sdn. Bhd. (Victoria STS) telah berjaya melengkapkan operasi pemindahan minyak mentah kapal-ke-kapal (STS) buat kali pertama di Victoria Bay, Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutif Victoria STS, Benjamin Bernard Bijon berkata, pemindahan STS pertama kali di perairan Labuan itu memberi petanda baik untuk pembangunan aktiviti berkaitan maritim pulau berkenaan.

“Operasi STS melibatkan 580,964 tong minyak mentah (bernilai kira-kira AS$60 juta) dari Seria Brunei itu berjaya disiapkan di salah satu daripada enam dermaga yang diluluskan dengan ke dalaman air selamat sehingga 30 meter.

“Ia terletak bersebelahan taman laut Pulau Kuraman.

“Operasi yang dijalankan dengan lancar itu mengambil masa kira-kira 20 jam dan selesai awal pagi tadi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Bernard  menjelaskan, minyak mentah yang dipindahkan itu adalah dari kapal Nissos Tinos Majuro ke kapal C. Grace sepanjang 330 meter yang menuju ke Korea Selatan.

Operasi STS dijalankan kira-kira 10 batu nautika dari Labuan, yang mana dianggap selamat untuk operasi sedemikian kerana kawasan dermaga itu sesuai untuk kapal minyak mentah yang sangat besar.

“Ini adalah kali pertama kapal sebesar itu singgah di Victoria Bay Port Limit dengan kapasiti muatan kargo bertaraf sehingga dua juta tong minyak mentah.

“Dari segi keselamatan, kami mempunyai kepakaran teknikal untuk menjalankan operasi ini dan kami mematuhi tahap piawaian keselamatan tertinggi tanpa menjejaskan alam sekitar dan manusia,” tambahnya.

Operasi STS itu disaksikan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, Datuk P. Kamalanathan dan rombongan pembesar dan pegawai kerajaan tempatan.

Selain itu, Straits menerangkan, kejayaan menyelesaikan pemindahan STS adalah hasil kerjasama strategiknya dengan Fendercare Marine (Asia Pacific) Pte Ltd. Victoria STS itu juga dijangka mengendalikan satu lagi Pemindahan STS bagi gas asli cecair (LNG) yang pertama dari Australia pada hujung bulan ni.

Victoria STS ialah anak syarikat tidak langsung Straits dengan kepakaran pakar dalam pengendalian luar pesisir bagi gas cecair dan kargo petroleum pukal.

Syarikat itu menerima lesen pertamanya daripada Jabatan Laut Malaysia pada 31 Julai 2021 untuk menjalankan operasi STS di Victoria Bay Port Limit. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI