fbpx

Skuad olahraga mampu tuai emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAURAJ kempunan beraksi pada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia 2022 di Belgrade, Serbia disebabkan masalah visa dan KOM harus menanganinya agar tidak berulang.

TIADA istilah mustahil buat atlet skuad olahraga negara untuk membawa pulang emas ke Malaysia meskipun bakal berdepan cabaran hebat menjelang temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam nanti.

Demikian keyakinan yang disuarakan bekas pelari pecut negara, Nazmizan Mohamad bahawa barisan atlet olahraga yang dihantar ke Hanoi nanti mampu melakukan kejutan.

“Secara keseluruhan, skuad olahraga menggabungkan se­nior dan junior dan nampak solid dengan atlet senior se­perti Hakimi Ismail, Zaidatul Husniah Zulkifli, Irfan Shamsuddin dan Nauraj Singh, mereka ini dapat bimbing serta bagi semangat kepada atlet muda yang bertanding nanti.

“Atlet yang terpilih ini telah membuat persiapan rapi supaya mencapai prestasi terbaik di sana nanti.

“Bagi saya, kalau lima emas tiada masalah untuk skuad negara mencapainya tetapi secara peribadinya, saya yakin dan percaya lapan emas mampu dibawa pulang. Saya harapkan atlet muda dan senior mampu melakukan kejutan di Hanoi.

“Saya letak sasaran tersebut berdasarkan prestasi semasa mereka ketika ini,” katanya.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menerusi Presidennya, Datuk SM Muthu sebelum ini mengumumkan sasaran skuad olahraga negara di Hanoi adalah lima emas, tujuh perak dan tujuh gangsa.

Cabaran itu bakal digalas oleh 36 atlet yang mana 18 berada di bawah kategori A dan 18 kategori B.

Pada edisi 2019 di Manila, Filipina, skuad negara membawa pulang lima emas, sembilan perak dan tujuh gangsa, sekali gus menduduki tempat keempat keseluruhan.

Sementara itu, ketua jurulatih olahraga negara, Mohd. Manshahar Abdul Jalil percaya bukan sesuatu yang ‘luar biasa’ sekiranya atlet mampu membawa pulang lebih daripada lima emas yang ditetapkan itu.

“Saya percaya ia adalah sasaran yang realistik (lima emas). Berdasarkan prestasi semasa atlet, saya percaya ia adalah sasaran yang munasabah dan jika ada rezeki mungkin akan ada tambahan pingat emas nanti,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI