MESKIPUN dihimpit masalah kesihatan akibat dijangkiti Covid-19 pada Februari lalu, pesilat negara, Siti Shazwana Ajak kini pulih 100 peratus untuk kembali memburu pingat pada Sukan SEA Vietnam 2021 di Hanoi.
Shazwana sebelum ini terpaksa mengetepikan kejohanan terakhir di Singapura selepas disahkan positif Covid-19, sekali gus menyebabkan dia terlepas peluang untuk menguji peraturan baharu silat.
Bagaimanapun, atlet berusia 30 tahun itu menegaskan, segala persiapan telah dibuat dan dia yakin mampu mengulangi pencapaian terbaik sewaktu meraih pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur (2017).
“Segalanya beransur pulih dan saya gembira dengan perkembangan terkini. Ketika pertama kali dijangkiti pada Februari lalu, saya mengalami masalah pernafasan dan bimbang kerana mungkin akan menjejaskan misi saya untuk ke Hanoi.
“Namun selepas menjalani rawatan di Institut Sains Negara (ISN), saya gembira keadaan saya pulih dengan cukup sempurna. Kecergasan saya juga pada tahap yang amat baik.
“Jadi, saya harap mampu mengekalkan sasaran pingat emas seperti di Kuala Lumpur. Saya tahu bukan mudah tetapi ia bukan mustahil untuk membawa pulang sebutir pingat emas ke tanah air sekali lagi,” katanya kepada Kosmo!.
Sewaktu Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Shazwana beraksi dalam kategori D Putri 60-65 kilogram (kg) dan di Hanoi nanti, dia akan beraksi dalam kelas lebih tinggi iaitu 65-70kg.
“Pastinya mencabar kerana saya terpaksa meningkatkan berat saya dan pesaing juga lebih besar. Persiapan telah dibuat dan saya yakin dengan peraturan baharu ini sedikit sebanyak mampu memberi kelebihan kepada saya terutama untuk melakukan jatuhan,” tambahnya.
Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) menyasarkan tiga pingat emas daripada 16 acara yang dipertandingkan dan Pesaka turut menyenaraikan tiga juara dunia bersaing pada temasya dwitahunan berkenaan iaitu Mohamad Hazim Amzad (C Putra), Mohd. Al Jufferi Jamari, (F Putra) Siti Rahmah Mohamed Nasir (F Putri) serta Ganda Putra, Mohd. Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga.