fbpx

Tauke jatuh terduduk, chalet dilanda banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBUAH rumah di Kampung Sum Sum, Janda Baik, Bentong yang rosak teruk selepas dilanda banjir besar awal pagi semalam. – AMIR KHALID

BENTONG – Kemeriahan sam­butan Aidilfitri yang masih dirasai oleh penduduk Janda Baik di sini terjejas apabila pusat peranginan popular itu ditenggalami air selama lebih dua jam susulan kejadian banjir awal pagi semalam.

Kejadian yang berpunca daripada hujan lebat sejak malam kelmarin itu berlaku pada pukul 5.30 pagi, sekali gus menjejaskan kira-kira 140 buah rumah melibatkan 400 penduduk.

Paling terjejas adalah pengusaha resort dan chalet di sepanjang sungai di kawasan berke­naan apabila premis mereka mengalami kerosakan akibat air deras.

Bencana terbaharu itu berlaku kurang lima bulan selepas kawasan berkenaan dilanda banjir besar pada penghujung 2021 yang menyaksikan beribu-ribu penduduk dipindahkan, selain merosakkan beratus-ratus kediaman.

SEBAHAGIAN chalet di Pulau Santap, Janda Baik yang terjejas selepas dilanda banjir awal pagi semalam. – AMIR KHALID

Ketua Kampung Janda Baik, Damuri Nusi berkata, kejadian awal pagi semalam melibatkan empat buah kampung iaitu Kampung Janda Baik, Kampung Che­ringin, Kampung Sum Sum dan Kampung Chemperuh.

Bagaimanapun, katanya, tiada pusat pemindahan dibuka dalam kejadian kali ini memandangkan air mulai surut kira-kira pukul 7 pagi.

“Banjir kali ini agak teruk ke­rana ada kampung seperti Kampung Sum Sum tidak terjejas, tetapi kali ini telah dinaiki air.

“Buat masa ini, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan, namun kesan kemusnahan dan kerosakan harta benda sangat besar,” tambahnya.

Sementara itu, Penolong Pe­ngarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.37 pagi.

“Kerja-kerja memindahkan semua mangsa berjaya dilakukan dalam masa yang singkat dan pasukan kita masih membuat pemantauan di lokasi kejadian,” katanya.

Tambah beliau, kejadian banjir semalam turut mengakibatkan tanah runtuh di laluan masuk ke Kampung Janda Baik dan laluan antara Kampung Sum Sum dan Kampung Chemperoh.

“Laluan itu sudah ditutup untuk pengguna bagi kerja pembersihan lumpur dan serpihan batu.

“Sebuah jentera milik JBPM Pahang turut terkandas akibat lumpur tebal ketika dalam perjalanan menghala ke Kampung Chemperoh bagi tugas memindahkan penduduk terjejas,” katanya.

Bagi pemilik pusat peranginan Teratak Malaya, Wan Abdul Malik Wan Hamid, kejadian banjir terbaharu itu telah menenggelamkan kesemua 45 buah chalet miliknya.

Katanya, dia langsung tidak menyangka banjir kali ini akan lebih teruk, sama seperti musibah pada penghujung 2021.

“Sebaik tersedar dari tidur, saya berasa seperti hanyut dan menyedari air sudah melepasi paras lutut.

“Air naik begitu cepat dan tiada barang yang berjaya di­selamatkan. Kerusi, meja dan sofa banyak yang hanyut, malah pekerja saya juga panik kerana menyangkakan saya telah diha­nyutkan arus deras,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Lebih menyedihkan katanya, kejadian terbaharu itu memberi kesan lebih teruk apabila hampir ke­semua chalet yang telah dibaiki dan diganti baharu susulan kerosakan lalu telah musnah sekali lagi.

“Dengan sebahagian besar barang seperti katil, tilam dan pe­rabot ditenggelami air, saya jangkakan mengalami kerugian kira-kira RM100,000.

“Saya tidak tahu hendak kata apa, sebelum ini saya habis kira-kira RM100,000 untuk membaiki dan beli katil serta perabot baharu. Hari ini, sekelip mata bara­ngan itu musnah.

“Memang saya dan juga pemilik chalet lain ‘terduduk’ pada kali ini kerana tidak sempat bangkit semula, sekali lagi ditimpa bencana,” katanya.

Beliau menambah, selama 15 tahun mengusahakan chalet di kawasan berkenaan, ini adalah kejadian banjir paling teruk pernah dialaminya apabila air begitu deras dan naik sehingga ke paras dada. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI