Pamer bakat cabut gigi sambil berdiri di atas hoverboard
WASHINGTON – Seorang doktor gigi Amerika Syarikat yang mencabut gigi pesakit sambil mengimbang badan di atas papan roda dihukum penjara 12 tahun atas kesalahan pergigian haram, penipuan dan kecuaian berbahaya.
Seth Lookhart, 35, menghantar satu rakaman melalui telefon menunjukkan dia berdiri atas papan roda ketika mencabut gigi pesakit sebelum meluncur sambil lalu menanggalkan sarung tangan.
Jabatan Undang-Undang Negeri Alaska menyatakan Hakim Mahkamah Agung Anchorage, Michael Wolverton berkata, insiden papan roda bukan kesalahan paling serius dalam kes itu.
“Lookhart nyaris membunuh ramai pesakit dengan memberi ubat bius tanpa mempunyai latihan atau kebenaran, ke atas pesakit di luar bidang latihan dan kepakarannya.
“Tertuduh juga didapati bersalah mencuri wang daripada program Medicaid dan menggelapkan wang ketuanya,” menurut satu kenyataan.
Pihak pendakwa meminta mahkamah mengarahkan Lookhart membayar balik lebih AS$2 juta yang digelapkan daripada dana kesihatan negeri. – AFP