ROM – Pemain tenis sensasi Great Britain, Emma Raducanu terpaksa menarik diri daripada bersaing pada kejohanan berprestij Terbuka Rom selepas mengalami kecederaan pada aksi pusingan pertama menentang Bianca Andreescu awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Raducanu gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan selepas ketinggalan 2-6, 1-2 sebelum mengambil keputusan untuk menarik diri serta-merta kerana kecederaan di bahagian belakang badan.
Kata Raducanu, keputusan tersebut sememangnya mengecewakan selepas dia gagal beraksi dengan konsisten sepanjang musim ini kerana sering dibelenggu masalah kecergasan.
“Sebenarnya saya meletakkan harapan tinggi untuk berjaya pada penyertaan pertama di sini tetapi saya perlu belajar menerima hakikat ini.
“Tahap fizikal saya juga masih belum berada pada keadaan yang diperlukan untuk membolehkan saya bersaing secara kompetitif.
“Saya merasai situasi ini sejak Terbuka Madrid lagi selepas tidak selesa di bahagian belakang badan. Saya harap dapat berehat seketika untuk proses pemulihan dan kembali ke gelanggang jika bersedia sepenuhnya,” kata juara Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2021 itu.
Sementara itu, Andreescu berharap Raducanu tidak terlalu memaksa tahap fizikalnya dengan membuktikan sesuatu di atas gelanggang jika masih belum bersedia untuk memberikan seratus peratus.
“Saya pernah melalui apa yang dirasai Raducanu ketika ini sewaktu menjuarai Terbuka AS 2019. Saya sering dibelenggu kecederaan dan hampir bersara daripada arena tenis antarabangsa.
“Saya harap dia lebih bijak untuk mengatur perjalanan karier selepas ini,” jelas Andreescu. – AGENSI