MANCHESTER – Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City mendapat untung besar apabila berjaya dalam urusan tawar-menawar untuk membeli Erling Braut Haaland dengan harga yang rendah.
Ia selepas The Citizens dilaporkan berjaya mendapatkan tandatangan salah seorang penyerang terbaik Eropah itu dengan yuran perpindahan bernilai £51 juta (RM275.49 juta) daripada Borussia Dortmund.
Harga yang perlu dibayar City dilihat agak rendah jika dibandingkan dengan rekod jaringan Haaland iaitu 85 gol dalam 88 penampilan sejak menyertai Dortmund daripada RB Salzburg pada Disember 2019.
“Manchester City mengumumkan pihak kami telah mencapai persetujuan dengan Borussia Dortmund berhubung perpindahan penyerang, Erling Haaland yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2022.
“Urusan perpindahan ini masih lagi tertakluk kepada terma-terma yang akan dimuktamadkan antara kedua-dua pihak,” menurut kenyataan rasmi City awal pagi semalam.
Pengurus City, Pep Guardiola pastinya sudah merancang strategi dan formasi sesuai buat Haaland untuk memastikan skuad bimbingannya kembali mencabar di pentas Eropah.
Kehadiran pemain berusia 21 tahun itu juga secara tidak langsung dilihat berjaya menyelesaikan masalah City yang selama ini tiada penyerang No.9 sejak Sergio Aguero berhijrah ke Barcelona pada Mei 2021.
Ia turut menamatkan spekulasi perpindahan City yang sebelum ini dikatakan terdesak memburu penyerang utama Tottenham Hotspur dan England, Harry Kane. – AGENSI