JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia kerana memaparkan seorang pelanggan menemui ulat di dalam mangkuk sambal ketika mengunjungi sebuah kedai makan, lapor laman berita Suara.com.
Video itu dimuat naik pada akaun Instagram bernama @smart.gram.
Rakaman memaparkan situasi di sebuah kedai makan dengan seorang pelanggan memesan sepinggan nasi goreng.
Nasi goreng yang disediakan di kedai tersebut pada awalnya kelihatan lazat, lengkap dengan telur dadar dan keropok yang terhidang di atas pinggan.
Lelaki itu kemudian mengalih lensa kamera ke arah semangkuk sambal merah yang diletakkan di atas meja berhampirannya.
Bagaimanapun setelah kamera dizum, kelihatan sesuatu sedang bergerak di dalamnya. Netizen mendakwa dapat melihat mangkuk itu dipenuhi ulat-ulat kecil yang masih hidup, bukan hanya seekor tetapi banyak.
Video berkenaan mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Hebat ulat boleh hidup dalam sambal,’’ tulis seorang netizen.
“Maklumkan kepada penjual, siapa tahu penglihatannya kurang jelas dan tidak nampak ulat tersebut,’’ komen netizen lain. – Agensi