KUALA SELANGOR – Laungan azan dan orang mengaji antara tindakan yang dilakukan sebahagian penduduk di sekitar Tanjung Karang di sini ketika perkampungan mereka dibadai ribut berserta hujan lebat pada awal pagi semalam.
Rata-rata mereka jelas terkejut dengan kejadian itu yang bermula kira-kira pukul 2 pagi dan pertama kali berlaku di lokasi berkenaan.
Kejadian tersebut menyebabkan banyak bumbung rumah terbang dan rosak sehingga kediaman dimasuki air hujan.
Antara lokasi terjejas termasuk di Tali Air, Ban 4, Kampung Tok Adam, Kampung Sungai Burung, Kampung Sungai Tenggi Kanan Darat dan Kampung Sawah Sempadan dengan anggaran sekurang-kurangnya 100 buah rumah terjejas.
Seorang mangsa, Soadah Ajis, 54, memberitahu, angin kencang itu telah menyebabkan kediamannya bergoyang selama lebih 20 minit sehingga membuatnya terpaksa berpaut pada tiang utama rumah.
Kata ibu tunggal itu, dia bersama empat anaknya kemudian melaungkan azan memohon perlindungan daripada Allah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Memang tidak keruan dengan saya peluk erat tiang rumah sebelum hujan lebat dan perkara paling risau adalah litar pintas.
“Saya bersama anak-anak kemudiannya berteduh di kawasan parkir rumah sehingga hujan berhenti pukul 8 pagi tadi (semalam),” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Dia berkata, kejadian itu menyebabkannya mengalami kerugian kira-kira RM5,000 dengan insiden itu pertama kalinya berlaku sejak 40 tahun tinggal di Parit 1, Kampung Sungai Sireh.
Seorang doktor swasta, Nor Zaima Zainuddin, 32, berkata, dia melihat sendiri bumbung beranda dan ruang tamu rumah mentuanya iaitu Salleh Mutaram, 86, terbang lebih 30 meter ke belakang rumah.
Ujarnya, apa yang membimbangkan adalah keselamatan ibu mentua berusia 85 tahun yang terlantar sakit tua di atas katil.
“Memang cemas dan panik kerana masa kejadian hanya saya, ibu bapa mentua dan kakak ipar sahaja berada di rumah.
“Sekarang ini, hanya tinggal bumbung bahagian dapur untuk kami berteduh,” jelasnya.
Suri rumah, Siti Nazuha Ghazali Lee, 31, pula meminta bantuan bomba untuk mengangkat ibunya berusia 62 tahun yang mengalami strok di rumah mereka di Jalan Lengkungan.
“Semasa kejadian, hanya ada ayah dan ibu di rumah. Kejadian ribut itu menyebabkan bumbung rumah tercabut di bahagian depan dan tepi selain bekalan elektrik turut terputus.
“Ruang tamu turut berselerak ekoran terdapat banyak barangan yang jatuh. Keadaan itu telah menyukarkan ayahnya untuk memindahkan ibu yang strok sejak lima tahun lalu,” katanya. -KOSMO! ONLINE