fbpx

Syafiq genggam emas demi anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFIQ berjaya mengungguli final 3m papan anjal individu di Pusat Akuatik My Dinh sebentar tadi.

HANOI – Penerjun negara, Muhammad Syafiq Puteh terus menambah kilauan pingat emas buat kontinjen Malaysia apabila memenangi acara 3 meter (m) papan anjal individu pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021 sebentar tadi.

Syafiq menggunakan pengalaman tiga temasya lalu dengan cukup baik untuk memastikan kem negara terus mendominasi sukan terjun apabila kini membolot tujuh daripada lapan pingat emas yang ditawarkan.

Atlet berusia 27 tahun itu konsisten menampilkan terjunan terbaik di Pusat Akuatik My Dinh untuk memungut mata keseluruhan 381.35.

Lebih manis, seorang lagi penerjun negara, Gabriel Gilbert Daim memastikan kedudukan 1-2 di atas podium buat Malaysia apabila meraih perak dengan 357.30 mata.

Penerjun Thailand, Chawanwat Juntaphadawon mengakhiri perjuangan di tempat ketiga dengan pengutan mata keseluruhan 340.35.

“Saya sangat teruja kerana dapat meraih emas buat negara. Saya sangat gembira dengan pencapaian ini kerana ia adalah kemenangan pertama dalam acara 3m papan anjal individu.

“Apa pun, kemenangan ini tidak hadir tanpa usaha dan latihan. Saya mahu menghadiahkan pingat emas ini buat anak saya, Nuraisya Zulaikha sempena hari lahirnya esok yang akan memasuki usia dua tahun.

“Saya tak berjumpa dengan anak kira-kira dua bulan dan kemenangan ini khas buatnya,” katanya sejurus tamat saingan di sini sebentar tadi.

Ini adalah emas kedua Syafiq dalam kariernya di Sukan SEA selepas meraih emas dalam acara 3m papan anjal seirama campuran bersama Jasmine Lai Pui Yee sewaktu edisi Kuala Lumpur 2017.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI