TANAH MERAH – Seorang anggota tentera maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar sebuah lori sebelum merempuh sebatang pokok di Kilometer 42, Jalan Kampung Kusial Baru di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, Muhammad Asyraf Romli, 22, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, siasatan awal mendapati, mangsa memandu kereta jenis Proton Wira sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Batu Hitam ke Kampung Kusial Baru.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kawasan semak di bahu jalan.
“Mangsa dipercayai sempat mengawal kereta dipandunya dan naik semula ke atas jalan raya namun, telah memasuki laluan bertentangan.
“Insiden itu menyebabkan sebuah lori jenis Isuzu yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak sebelum melanggar kereta mangsa sehingga berpusing dan merempuh sebatang pokok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Zulfikri, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dibawa ke Hospital Tanah Merah di sini untuk dibedah siasat manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, siasatan mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kereta dipandu mangsa yang terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE