KEMAMAN – Seorang ibu berdepan detik cemas apabila bayinya perempuannya berusia 18 bulan terperangkap selama setengah jam di dalam kereta Proton Satria di Taman Samudera Timur, Chukai di sini hari ini.
Kejadian itu berlaku pada pukul 9.30 pagi sewaktu ibu bayi tersebut keluar dari keretanya untuk memasuki sebuah dobi pakaian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, kereta Proton Satria tersebut dikatakan telah terkunci secara automatik menyebabkan bayinya terperangkap.
Beliau berkata, dia yang panik telah bertindak menghubungi pihaknya untuk meminta bantuan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, bayi perempuan yang terperangkap di dalam kereta itu sedang menangis ketakutan.
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zailani berkata, bayi perempuan berkenaan didapati tidak mengalami sebarang kecederaan. – KOSMO! ONLINE