fbpx

Penganggur cabul remaja, miliki senjata dijel 11 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Edry Shah (kiri) untuk didakwa atas tiga pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Seorang penganggur dihukum penjara 11 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mencabul remaja perempuan dan memiliki dua jenis senjata di Kuala Krai dekat sini baru-baru ini.

Tertuduh, Edry Shah Rimiey Ghani, 34, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Tertuduh didakwa memiliki sebilah pisau besi pendek berhulu kayu dan sebilah buku lima di sebuah kedai serbaneka di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai pada pukul 5 petang, 29 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 7(1) (a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Edry Shah turut didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa yang berusia 15 tahun di bawah rumpun buluh berhampiran Sungai Gertak Runtuh, Gertak Kangkung, Kuala Krai pada pukul 3 petang, 21 Mac lalu.

Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa sama di sebuah rumah di Kuala Krai pada pukul 10 pagi, 20 April lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Edry Shah didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal agar dapat menjadi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Edry Shah merayu hukuman ringan dan memohon hukuman berjalan serentak selain sudah insaf atas kesalahan tersebut.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan pertama dan 11 tahun bagi pertuduhan kedua dan ketiga. Kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula tarikh tertuduh  ditangkap pada 29 April lalu – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI