fbpx

Pemuda didakwa tipu 5 individu sewa tapak bazar Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Nurul Akhbar (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pemuda didakwa di lima Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan menipu lima individu berhubung sewa tapak bazar Ramadan di Stadium Bukit Jalil di sini dan bazar Ramadan yang tidak wujud.

Bagaimanapun tertuduh Mohamad Nurul Akhbar Maula Yusoff, 20, mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadapnya di hadapan lima Majistret iaitu Fardiana Haryanti Ahmad Razali, Noorelynna Hanim Abd. Halim, Nadia Othman, Wong Chai Sia dan Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima tertuduh yang juga penganggur itu didakwa dengan curangnya menipu lima individu yang terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita berusia 24 hingga 35 tahun dengan memperdaya mereka dalam urusan menawarkan sewa tapak bazar Ramadan di stadium Bukit Jalil dan bazar Ramadan yang tidak wujud.

Perbuatan itu telah mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang berjumlah RM10,800 yang mana mereka tidak akan memberikan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian. Jumlah yang paling rendah membabitkan RM1,500 manakala paling tinggi ialah RM2,700.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di empat kediaman mangsa dan sebuah bank di Cheras, Puchong dan Bukit Jalil di sini antara 7 Februari hingga 30 Mac lalu (2022) yang didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini tertuduh diwakili peguam Mu’az Al-Awwal Mohamad Zafarullah.

Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin RM10,700 bagi kesemua pertuduhan. Tarikh 13 Jun serta 4 dan 26 Julai ini ditetapkan sebutan semula kes.

Kosmo! Online Isnin lalu melaporkan polis berjaya memberkas seorang lelaki disyaki terlibat kegiatan tipu sewa tapak bazar Ramadan melalui laman Facebook di Stadium Bukit Jalil, di sini bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, pihaknya sehingga kini menerima enam laporan berhubung kes terbabit.

Menurut polis kesemua mangsa telah dijanjikan akan memperolehi tapak bazar dengan bayaran pendahuluan antara RM1,500 hingga RM2,700.

Kesemua mangsa menyedari ditipu selepas penganjur bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil tidak diteruskan seterusnya gagal menerima duit pendahuluan mereka.

Susulan itu, polis telah menahan suspek utama yang merupakan pemilik akaun Facebook terbabit.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI