PONTIAN – Dua pencari kerja kerugian RM14,305 setelah menjadi mangsa penipuan pekerjaan tidak wujud dalam talian.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa pertama seorang wanita berusia 23 tahun bekerja sebagai kerani telah kerugian sebanyak RM10,345.
Manakala katanya, mangsa kedua seorang remaja 19 tahun yang masih belajar kerugian sebanyak RM3,960.
Menurut beliau, modus operandi (MO) ialah dengan meminta mangsa memberikan maklumat peribadi seperti nombor akaun bank dan salinan kad pengenalan kepada suspek dan meminta mangsa menyelesaikan tugasan yang diberikan.
“Mangsa seterusnya akan diminta membayar nilai barang yang diberikan dan dijanjikan akan mendapatkan pulangan serta komisen antara 10 hingga 15 peratus.
“Pada tugasan pertama, mangsa telah mendapat pulangan sebagaimana dijanjikan, tetapi selepas itu mangsa diberikan tugasan seterusnys namun perlu membayar dengan jumlah lebih besar bagi mendapatkan pulang dan komisen lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah Mohammad Shofee, mangsa menyedari telah ditipu apabila tiada pulangan yang dijanjikan dan suspek telah memberikan pelbagai alasan supaya mangsa membuat pembayaran lagi sekiranya inginkan komisen berkenaan.
“Merasa diri mereka telah tertipu, kedua-dua mangsa telah membuat laporan polis pada 9 Mei (semalam ),” ujarnya. -KOSMO! ONLINE