PETALING JAYA – Rezeki si kecil, pasangan selebriti popular Neelofa dan Haris Ismail mengakui tidak menyangka jumlah kutipan duit raya anak sulungnya, Muhammad Bilal mencecah lebih RM14,000.
Kata pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd Noor, 33, itu, pengiraan duit raya milik Bilal yang baru berusia empat bulan itu dilakukan sebelum mendaftar untuk membuka akaun bank.
“Sebenarnya kami tidak perasan pun (jumlah duit) sebab masa itu memang kira sebelum buka akaun bank untuk Bilal. Apabila kira-kira dan jumlahnya, alhamdulillah.
“Yang datang (beri duit raya) pula kawan-kawan mak kami, saudara mara dari Kelantan dan Besut, Terengganu. Rezekilah si kecil itu,” katanya dalam program MeleTOP malam tadi.
Terdahulu, sebuah video TikTok memaparkan Neelofa sedang mengira duit raya anaknya mendedahkan jumlahnya bernilai lebih RM14,000 tular dalam media sosial.
Pelbagai reaksi diberikan netizen mengenai video tersebut seperti duit raya Bilal lebih banyak daripada pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu RM10,000 baru-baru ini.
Malah, ada juga yang berpendapat video sebegitu tidak sepatutnya dikongsikan kepada umum kerana khuatir menjadi riak.
Sebagai info, Neelofa dan Haris mendirikan rumah tangga pada 27 Mac 2021 tahun lalu di sebuah hotel terkemuka di ibu megara.
Pasangan tersebut seterusnya dikurniakan seorang anak lelaki, Bilal pada 29 Januari lalu yang sehingga kini tidak didedahkan wajahnya kepada umum. – KOSMO! ONLINE