fbpx

Tak malu dipanggil janda, Raja Azura malas fikir tentang lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DUA belas tahun menjanda, Raja Azura hanya bahagia dengan anak-anak.

PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara Raja Azura mengakui bahagia hidup bersama anak-anak walaupun sudah 12 tahun hidup tanpa lelaki bergelar suami.

Bekas pengacara Melodi itu juga berasakan, tiada keperluan untuknya kembali menempuh alam berumahtangga. Dia sebaliknya rela memegang status janda daripada mengusutkan fikiran dengan perkara yang tidak perlu, terutama harus menjaga perasaan orang lain sekiranya terbuka hati bertemu teman baharu.

“Saya berbahagia dengan anak-anak. Tak perlu ada pasangan hidup. Orang nak pasangan hidup sebab nak kebahagiaan. Alhamdulillah, saya masih okay dan ada rezeki untuk anak-anak,” katanya.

Sering ditanya soal keterbukaan untuk menerima lelaki bahau dalam hidup, pengacara yang terkenal dengan mulut lantang itu sebaliknya ada persoalan lain sebelum memberikan jawapan sewajarnya.

“Soal terbuka pintu hati? Memang selalu orang tanya soalan itu. Pertama sekali saya nak tahu, sebenarnya dalam perkahwinan ini apa tujuannya? Apa misi sebenarnya? Nak teman hidup? Anak-anak macam mana?

“Adakah teman hidup boleh terima? Lepas itu nak kenal ipar-duai lagi yang kita tak tahu mereka suka atau tidak dekat kita. Lagi satu, apabila kita kenal orang berduit, orang ingat kita pula nak harta adik-beradik dia.

“Jadi benda-benda macam ini saya tak suka. Sebab pengalaman yang berlaku pada hidup saya selama ini sudah cukup. Saya pernah berkahwin, dah ada tiga anak. Syukur dapat besarkan mereka dari kecil,” ujarnya.

Sementara itu katanya lagi, buat masa ini paling utama adalah kepentingan tiga permata hatinya yang semakin membesar iaitu Megat Muhammad Raziq, 20; Megat Luqman Hakim, 19; dan Puteri Mia Maizura, 17 tahun.

“Saya jenis terlampau sayang anak-anak. Kepentingan diri saya tolak ke tepi kerana mereka di tangga teratas. Saya bekerja pun demi mereka, tambahan pula mereka masih belajar dengan si bongsu di tingkatan lima.

“Dua abangnya pula di Universiti Teknologi MARA (UiTM), ada beberapa tahun lagi untuk selesai. Biarlah mereka ‘lepas’ dulu dan boleh berdikari, baru saya fikir pasal diri sendiri.

“Cuma bagi saya, jodoh tak perlu dicari. Bukan menolak takdir tapi saya percaya terhadap aturan-Nya, kalau sudah ditentukan, akan datang sendiri,” tambahnya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai panggilan janda berbanding ibu tunggal yang dilihat kasar bagi sesetengah individu, Raja Azura sangat terbuka hingga tidak kisah atau berasa malu dengan gelaran tersebut.

Katanya, sama ada janda atau ibu tunggal. Kedua-duanya tetap mempunyai makna sama. Namun sebagai penyandang status tersebut dia harus pandai menjaga diri dan maruah supaya tidak dipandang serong.

“Saya tak ada masalah dengan status janda. Hakikatnya memang betul pun kita janda. Bagi saya, yang penting kena jaga tertib. Kita tahu kita ini ibu tunggal, jadi kena tahu tertib sebagai seorang janda.

“Paling penting jaga adab sebab saya ada anak yang bersekolah dan perlu menjaga anak kedua ibu bapa saya. Walaupun saya dah berpisah bekas suami tapi masih ada bapa mentua.

“Sampai bila-bila pun dia bapa mentua. Bila kita jaga semua ini, kita dah tak kisah orang panggil janda. Saya tak pernah rasa kecil hati sebab hakikatnya saya adalah janda yang tahu jaga tertib dan maruah keluarga,” ulasnya.

Sebelum ini, Raja Azura mendirikan rumah tangga dengan anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Haji Aroff, Adzmin Osman pada Mac 2001 namun hanya bertahan selama sembilan tahun.

Dalam perkembangan lain, pemilik nama sebenar Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 49, bakal muncul menerusi filem baharu berjudul Tiga Janda Melawan Dunia.

Menerusi filem yang dijadualkan menemui penonton di pawagam pada 19 Mei nantii, Raja Azura memegang watak ibu tunggal bernama Ani bergandingan dengan Khatijah Tan (Midah) dan Normah Damansuri (Rahayu).

Tiga rakan karib ini berdepan pelbagai dugaan yang menguji kesetiaan persahabatan semata-mata mahu menonton konsert penyanyi pujaan hingga mengambil keputusan menjalankan perniagaan menjual cecair vape. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI