MOHAMAD FAIZAL HASHIM
ISKANDAR PUTERI – Skuad Red Giants rebah di Stadium Sultan Ibrahim, di sini selepas dibelasah penyandang juara, Johor Darul Takzim (JDT) 6-1 pada aksi Liga Super sebentar tadi.
Kemenangan tersebut meletakkan pasukan JDT semakin hampir menggapai gelaran juara liga selepas mengutip 22 mata menerusi lapan perlawanan, sembilan mata di hadapan pencabar terdekat, Kedah.
Babak pertama perlawanan menyaksikan permainan seimbang oleh kedua-dua pasukan namun tiada serangan berbahaya dilancarkan ke arah kubu lawan masing-masing .
Harimau Selatan dilihat berdepan kesukaran untuk menembusi benteng ampuh gandingan kapten, Francis Taylor dan Nicholas Ryan Swirad bagi menguji kecekapan penjaga gawang, Mohd. Farizal Harun.
Gonzalo Cabrera hampir memecah kebuntuan pada minit ke-22 namun sepakan leret yang dilakukan sedikit tersasar.
Gol pembukaan bagi pasukan tuan rumah hadir pada minit akhir babak pertama menerusi sepakan percuma yang diambil Safawi Rasid sekali gus meletakkan JDT di hadapan.
Sepakan lencong Safawi yang melepasi benteng membuatkan Mohd. Farizal hanya terpaku melihat bola menerjah jaring gawang.
Bersambung babak kedua, JDT tidak menunggu lama untuk menambah jaringan apabila pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria menghadiahkan sepakan penalti setelah Diogo Luis Santo dijatuhkan oleh Nicholas Ryan dalam kotak penalti.
Safawi tidak mensia-siakan peluang tersebut dengan menyempurnakan sepakan penalti itu bagi menambah jaringan buat pasukan bimbingan Benjamin Mora pada minit ke-48.
Zulkarnain hampir menghadiahkan penalti kedua buat skuad Harimau Selatan pada minit ke-53 namun menukar keputusannya setelah merujuk kepada penjaga garisan.
JDT sekali lagi menambah jaringan bagi menambah derita buat pasukan B.Sathiananthan, kali ini menerusi jaringan cantik hasil tendangan ‘volley’ dari sudut sukar oleh penyerang sensasi, Diogo pada minit ke-64.
Dua minit berselang, kini giliran Cabrera meletakkan nama dalam senarai penjaring setelah menyudahkan umpanan cantik Diogo bagi melebarkan jaringan.
Penyerang cilik berusia 19 tahun, Muhammad Ramadhan Saifullah yang dibawa masuk menggantikan Cabrera meledak dua gol bagi melengkapkan pesta gol pasukan tuan rumah.
Red Giant memperoleh gol sagu hati menerusi jaringan oleh pemain simpanan, Rufino Segovia pada babak akhir perlawanan.-K! ONLINE