SEBERANG PERAI – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun terbunuh selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan motosikal lain dalam kemalangan di Jalan Lahar Kepar, Kepala Batas di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala, manakala seorang lagi penunggang berusia 14 tahun mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, kejadian berlaku apabila motosikal jenis SYM ditunggangi mangsa yang datang dari arah Penaga menghala ke Kepala Batas telah memotong sebuah kereta dari arah sama.
“Motosikal itu kemudiannya memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal jenis Honda EX5 dari arah bertentangan.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal SYM maut di tempat kejadian, manakala penunggang Honda EX5 cedera parah iaitu patah kaki kanan dan luka,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Mohd. Radzi lagi, siasatan mendapati, kedua-dua mangsa merupakan pelajar sekolah yang menunggang motosikal milik bapa mereka.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE