PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir ekoran ramalan hujan lebat berserta ribut petir dan angin kencang melibatkan tujuh negeri pada pagi ini.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk tersebut dijangkakan berlarutan sehingga pukul 10 pagi nanti.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Kedah melibatkan Kota Setar, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
“Selain itu, cuaca yang sama dijangka melanda keseluruhan negeri Pulau Pinang dan beberapa daerah di Perak seperti Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar dan Muallim,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Sementara itu, ramalan tersebut turut merangkumi kawasan Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera di Pahang.
“Bagi negeri Selangor pula, ia melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat serta kesemua kawasan di Kuala Lumpur pada pagi ini.
“Di Negeri Sembilan, antara kawasan yang bakal menerima taburan hujan pagi ini adalah Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Jempol,” ujarnya.
Tambah MetMalaysia, keadaan yang sama juga bakal berlaku di Johor iaitu Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Jelasnya lagi, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Bagaimanapun, amaran tersebut merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE