fbpx

KL City kembali bangkit, PJ City tambah derita KDA FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zhafri Yahya (jersi merah) menghasilkan gol menarik ketika meledak jaringan ketiga KL City FC untuk memastikan kemenangan 3-2 ke atas Penang FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi. - Foto Facebook KL City

KEBANGKITAN yang diserlahkan Penang FC di penghujung permainan nyata sudah terlambat apabila terpaksa akur tewas 3-2 di tangan Kuala Lumpur City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Misi KL City untuk kembali menemui rentak kemenangan bermula dengan baik dan peluang terbaik hadir seawal minit ke-12, namun tolakan Akram Mahinan berjaya diselamatkan oleh Abdul Latiff Suhaimi di atas garisan gol.

Dua minit selepas itu, giliran Romel Morales mempersiakan peluang apabila sepakan penaltinya diselamatkan oleh penjaga gol Penang, Khatul Anuar Md Jalil namun minit ke-42, J Partiban memastikan babak pertama menjadi milik KL City.

Bersambung babak kedua, KL City hanya memerlukan masa 10 minit untuk menambah derita Penang dan kali ini giliran Morales mencipta nama selaku penjaring apabila hanya perlu melakukan tampanan selepas menerima umpanan daripada kaptennya, Paulo Josue.

Ketika KL City berjaya memperoleh gol ketiga menerusi Zhafri Yahya pada minit ke-77, kemasukan Casagrande cetus kebangkitan Penang namun hanya mampu menghasilkan dua gol menerusi Endrick Dos Santos (m-80) dan Hilal Alhelwe (m-87).

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, jaringan daripada dua pemain berpengalaman Petaling Jaya City, Mahali Jasuli dan Mohd Khyril Muhymeen Zambri memaksa Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berpuas hati dengan keputusan seri 3-3.

Keputusan itu memusnahkan malam gemilang buat bintang import KDA FC, Ronald Ngah Wanja selepas hatrik dilakukannya gagal menghasilkan tiga mata buat pasukannya sekaligus memeningkan kepada Aidil Sharin Sahak untuk memperbaiki persembahan anak buahnya.

Ngah Wanja membuka jaringan pada minit ke-21 namun selang lapan minit selepas itu, kedudukan kembali seimbang apabila PJ City memperoleh gol penyamaan menerusi Darren Lok, sebaliknya keceriaan tuan rumah hanya bertahan tiga minit sebelum import KDA FC itu kembali meletakkan pasukannya di depan.

Ketika Ngah Wanja melengkapkan hatriknya pada minit ke-65, minit ke-77, Mahali meledak gol kedua PJ City dan selang enam minit selepas itu, Mohd Khyril Muhymeen melakar nama selaku wira pasukan untuk gol ketiga tuan rumah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI