TANAH MERAH – Seramai 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk tujuh wanita dicekup dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Kampung Jelakong di sini hari ini.
Dalam serbuan pada pukul 5.30 petang itu, dua lelaki berusia 48 dan 65 tahun turut ditahan selepas dipercayai bertindak sebagai tekong darat yang membawa masuk kesemua PATI ke negara ini.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superitendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, pemeriksaan mendapati, kesemua PATI berusia dalam lingkungan 18 hingga 45 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Menurutnya, PATI itu dipercayai ditempatkan di rumah kedai berkenaan sebagai transit sebelum mereka akan dibawa ke Kuala Lumpur, Genting Highlands, Cameron Highlands dan Kuantan, Pahang.
“Mereka dipercayai masuk ke negara ini menerusi pangkalan haram Dalam di sini pada Sabtu lalu. Kesemua PATI akan dibawa ke lokasi-lokasi tersebut untuk bekerja di sana.
“Siasatan awal mendapati, kedua-dua tekong darat itu menerima upah sebanyak RM50 untuk setiap seorang PATI yang dibawa ke negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Zulfikri, dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan untuk mengangkut kesemua PATI dari pangkalan haram ke rumah kedai tersebut.
Katanya, kesemua PATI dan dua tekong darat dibawa ke Ibu Pejabat Polis Tanah Merah di sini untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) dan Akta Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE