BANGKOK – Thailand akan mengeksport bekalan durian bernilai 120 bilion baht (RM15.1 bilion) ke China pada tahun ini, lapor laman berita Thaiger, kelmarin.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan kira-kira 10 peratus berbanding tahun lalu, demikian menurut Menteri Pertanian dan Koperasi Thailand, Chalermchai Sri-on.
Thailand telah mengeksport 875,100 tan durian ke China tahun lepas yang bernilai 109 bilion baht (RM13.8 bilion).
Ia sekali gus membolehkan durian Thailand menguasai bahagian pasaran terbesar di China iaitu sekitar 40 peratus.
Ini diikuti dengan durian dari Chile di tempat kedua dengan 15 peratus dan durian Vietnam dengan enam peratus. Namun begitu, durian dari Thailand sangat digemari dalam kalangan penggemar durian di Tanah Besar China.
Di China, harga durian Thai telah meningkat kepada 120 baht hingga 150 baht (RM15 hingga RM19) sekilogram, manakala buah-buahan lain dari negara Gajah Putih itu turut dihantar dalam kuantiti yang lebih besar.
Berikutan kenaikan harga bahan api yang sebahagiannya disebabkan oleh perang Rusia-Ukraine, inflasi global dan kekurangan bahan api, kerajaan Thailand mahu sektor swasta membantu meningkatkan penghantaran durian melalui perkapalan dan kereta api.
Pemerintah China telah menetapkan kawalan ketat terhadap import buah-buahan selaras dengan tindak balas wabak Covid-19 mereka.
Walaupun dengan dasar sifar Covid di China, Thailand menghantar 42 peratus lebih banyak durian ke negara itu pada suku pertama 2022 berbanding 2021, demikian menurut penasihat kepada Menteri Pertanian dan Koperasi, Alongkorn Ponlaboot. – Agensi