HULU TERENGGANU – Tindakan pantas seorang wanita warga emas menyelamatkan enam ahli keluarganya termasuk ibunya berusia 88 tahun dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Buluh di sini hari ini.
Kebakaran pada pukul 3 petang itu dipercayai berpunca daripada salah sebuah bilik di tingkat atas rumah dua tingkat berkenaan.
Mangsa, Tuan Fatimah Tuan Bulan, 64, berkata, sewaktu kejadian, mereka bertujuh termasuk cucunya yang baru berusia dua bulan sedang berehat di tingkat bawah.
“Saya terhidu bau hangit yang pada mulanya disangkakan dari sampah bakar jiran namun tak sedap hati apabila dimaklumkan tentang kepulan asap dari bahagian atas rumah.
“Saya terus meminta anak bongsu, Syed Muhammad Faizal Tuan Putera, 23, menjengkuk ke tingkap atas dan dia nampak api kebakaran sedang marak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian di sini hari ini.
Tuan Fatimah berkata, dia tanpa berfikir panjang meminta semua ahli keluarganya menyelamatkan diri.
Dia berkata, hampir keseluruhan rumahnya musnah terbakar kecuali sebahagian bahagian bawah.
Tambahnya, semua harta-benda kecuali sebahagiannya pakaian dia dan ibunya yang berada di sebuah bilik di tingkat bawah rumah musnah dalam kebakaran itu.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zuraidi Mohd. Yusof berkata, kebakaran yang memusnahkan 60 peratus kediaman tersebut berjaya dipadamkan pada pukul 4.47 petang. – KOSMO! ONLINE