GOMBAK – Tindakan seorang penunggang motosikal melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Sungai Tua-Ulu Yam pada Ahad lalu mengundang padah selepas dia ditahan sepasukan polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya telah mengesan video berdurasi 30 saat di media sosial pada Ahad lalu kira-kira pukul 4 petang.
“Menerusi video berkenaan, seorang lelaki telah menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC secara berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan (wheelie).
“Pada hari yang sama, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah menahan termasuk merampas motosikal yang digunakan suspek kira-kira pukul 7.30 malam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kes berkenaan telah disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan secara melulu dan berbahaya kepada orang awam.
“Suspek berusia 27 tahun berkenaan juga telah dituduh di Mahkamah Majistret Selayang hari ini dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan.
“Majistret telah membenarkan suspek diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE