BERMULA 1 Mei lalu, beberapa perkara telah dilonggarkan temasuklah pemakaian pelitup muka yang tidak lagi diwajibkan di luar bangunan bergantung kepada situasi tertentu.
Namun, kemeriahan sambutan Aidilfitri baru-baru ini memperlihatkan orang ramai seolah-olah lupa berhubung hal penjagaan kendiri dalam mengekang penularan virus Covid-19.
Mereka seperti sudah bebas sepenuhnya daripada virus berbahaya sehingga ada yang tidak memakai pelitup muka ketika berada di kawasan sesak.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan pemakaian pelitup muka harus dipraktikkan di dalam bangunan dan pengangkutan awam selain lokasi tumpuan ramai.
Menyokong kenyataan itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Epidemiologist, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, pemakaian pelitup muka masih lagi penting khususnya kumpulan yang berisiko tinggi.
“Pemakaian pelitup muka masih lagi relevan terutama bagi golongan rentan dan bergejala serta berada di kawasan sesak dan bertutup.
“Masyarakat dinasihatkan untuk kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan segera melengkapkan suntikan vaksinasi bagi melindungi diri daripada Covid-19,” katanya.
Menurut beliau, situasi membuatkan ramai mula alpa tentang kepentingan memakai pelitup muka mungkin kerana mereka beranggapan keadaan sekarang adalah selamat memandangkan ada negara-negara yang tidak mempraktikkan amalan tersebut.
“Selagi negara kita tidak mencapai angka sifar dalam kes jangkitan Covid-19, orang ramai perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi SOP yang masih berkuat kuasa.
“Jangan disebabkan sikap mementingkan diri sendiri, negara kita terus dibelenggu dengan masalah jangkitan ini.
Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Malina Osman berpendapat gelombang baharu jangkitan boleh berlaku pada bila-bila masa sekiranya tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk bersama-sama menangani wabak Covid-19 seperti mana yang berlaku di negara-negara lain.
“Saya berpendapat dalam konteks sekarang ini, eloklah dikenakan dahulu pemakaian pelitup muka seperti dilaksanakan terutama di tempat sesak dan tidak dinafikan dalam tempoh terdekat, kes jangkitan akan melonjak disebabkan lebih banyak interaksi sosial berlaku,” ujarnya.
Melihat kepada varian baharu seperti BA.1, BA.2 dan Omicron XE yang telah direkodkan di negara luar berkemungkinan besar boleh terjadi di Malaysia.
Oleh itu, selagi negara kita tidak mencapai angka sifar dalam jangkitan Covid-19, orang ramai perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi SOP yang masih berkuat kuasa.
Jangan disebabkan sikap mementingkan diri sendiri, negara kita terus diancam dengan virus Covid-19. -KOSMO! ONLINE