fbpx

Projek pembangunan punca banjir kilat di Pontian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
banjir kilat pontian
MUSIBAH banjir yang sering berlaku di Kampung Parit Pasir Baru, Pontian cetus kebimbangan penduduk.

PONTIAN – Kejadian banjir kilat yang berlaku pada hari ketiga Aidilfitri baru-baru ini bukan hanya menghilangkan kegembiraan berhari raya, malah turut mengecewakan penduduk Kampung Parit Pasir Baru di sini, memandangkan isu berkenaan gagal diatasi oleh pihak berkuasa sejak sekian lama.

Lebih membimbangkan apabila penduduk merasakan kawa­san kampung mereka seperti ka­wasan ‘tadahan hujan’ apabila banjir kilat mudah berlaku walaupun hujan selama 30 minit.

Penduduk mendakwa, projek pembangunan di Pekan Nanas dipercayai menjadi punca utama kejadian banjir di Kampung Parit Pasir Baru.

Wakil penduduk, Mohd. Nawab Unos, 48, berkata, projek pembangunan yang dijalankan termasuk pembinaan perumahan menyebabkan sering berlakunya banjir kilat di kawasan itu sejak tahun 2018.

Katanya, masalah timbul apabila sistem saliran dan perparitan masih tidak berubah dan tiada penambahbaikan, meng­akibatkan curahan hujan dari kawasan pembangunan turun ke saliran yang sama.

“Beberapa projek yang dijalankan bagi tempoh empat tahun lalu juga gagal seperti pembinaan longkang konkrit U di Jalan Kiambang, meluaskan kawasan terjahan air di persimpangan hujung saliran dan pembinaan saliran konkrit U di tepi jalan besar hingga ke jambatan Kampung Parit Pasir,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini semalam.

Tambah Mohd. Nawab, penduduk juga semakin bimbang jika melihat cuaca mendung menyebabkan mereka takut untuk meninggalkan rumah.

“Sudah banyak kejadian kediaman dimasuki banjir ketika penduduk tiada di rumah me­ngakibatkan kerosakan harta benda.

“Bayangkan sahaja, dalam setahun kami terpaksa menghadapi empat atau lima kejadian banjir kilat walaupun hujan berlaku sekitar 30 minit,” katanya.

Justeru katanya, antara cadangan yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut adalah melebar serta mendalamkan saliran sedia ada, membina saliran kedua supaya aliran air ke sungai lebih cepat.

“Penduduk juga meminta agar semua saliran kecil di Kampung Parit Pasir Baru dibaiki dan membuka semula saliran air di bawah jambatan jalan utama Pekan Nanas sebagai langkah terakhir,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI