BERAZAM mahu menyampaikan mesej menyalurkan kesedaran tentang kesihatan mental kepada orang ramai, band punk rock, Armpunk Sindicate muncul dengan sebuah single terbaharu berjudul Seterumu.
Istimewanya, lagu berkenaan terinspirasi daripada kisah benar pemain bass mereka sendiri, Akmal Hakim Syed Abdul Hamid (HK) yang bergelut dengan masalah mental sewaktu melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS).
Sakit mental
Selain HK, Armpunk Sindicate turut dianggotai Zaid Nazim Zainal Abidin atau Zed selaku vokalis dan Muhamad Hameli Muhamad Yazid (Miely) sebagai gitaris.
Bercerita lanjut tentang masalah kesihatan mental yang dialaminya, sebagai pesakit, HK langsung tidak menyedari bahawa dia sedang ‘sakit’ sehinggalah mendapatkan rawatan secara profesional di hospital.
“Saya melanjutkan pengajian di AS pada 2013. Perasaan rindu berjauhan dengan keluarga dan tugasan pengajian yang banyak menyebabkan saya kerap memendam rasa, kurang keyakinan diri dan lebih gemar menyendiri di dalam bilik.
“Awalnya saya tidak menyedari sebarang perbezaan pada diri, termasuk tidak menyedari bahawa saya mempunyai masalah keresahan.
“Namun, apabila keadaan berterusan begitu, saya terpaksa mendapatkan nasihat pakar dan menjalani rawatan sekitar akhir 2014.
“Bermain muzik dan berkarya antara cara saya melepaskan segala ‘beban’ di kepala. Semakin hari, saya semakin pulih,” kata HK kepada Kosmo! semasa sesi sidang media dalam talian baru-baru ini.
Melihat pengalaman perit yang terpaksa dilalui HK sepanjang bergelar pesakit mental telah mendorong Armpunk Syndicate untuk sama-sama memberi kesedaran kepada masyarakat, di samping membangkitkan semangat mereka yang sedang melalui episod gelap tersebut menerusi lagu Seterumu.
“Lagu ini memang tentang diri saya, tetapi pada waktu yang sama, saya tahu terdapat ramai lagi rakan-rakan dan masyarakat di luar sana yang sedang melaluinya (masalah mental).
“Misi kami mahu membangkitkan semangat mereka (pesakit mental). Kami mahu mereka tahu yang mereka tidak keseorangan dan dapat melalui hari-hari seterusnya dengan positif.
“Elakkan kesedihan, jangan tunggu hingga ada masalah dan jangan tunggu sehingga masalah mental mengganggu kehidupan seharian anda,” ujar HK tentang lagu yang dicipta oleh Shamsul Cairel Abd. Karim itu.
Punk positif
Seterumu merupakan lagu utama yang dimuatkan di dalam EP pertama Armpunk Sindicate, Fakulti Kaki Lima yang telah pun berada di pasaran sejak 26 Mac lalu.
Ini bukanlah kali pertama Armpunk Sindicate tampil dengan lagu-lagu yang bermesej positif.
Pada tahun 2019, mereka pernah menghasilkan single berjudul Dadah Durjana dan mereka turut dilantik menjadi ikon World Drugs Free Malaysia.
Selain itu, Armpunk Syndicate juga pernah muncul dengan lagu Satu Bendera yang mengangkat isu tentang penyatuan dan perpaduan.
Bercakap tentang perkara itu, Zed tidak menafikan band punk rock seperti mereka masih menerima stigma daripada segelintir masyarakat yang masih beranggapan punk adalah golongan yang sering terlibat dengan perkara negatif.
“Memang benar sukar untuk kami mengikis pandangan negatif orang terhadap band punk. Namun, kami sekadar bermain muzik dan mengamalkan gaya hidup ketimuran.
Tidak pula melakukan perkara-perkara negatif.
“Bagi saya melakukan perkara negatif itu adalah pilihan dan bersifat individu. Tidak adil untuk pukul rata semua orang sama. Diharap dengan jalan yang kami pilih iaitu membawa lagu-lagu penuh mesej di samping berhibur dengan muzik dapat mengubah pandangan orang ramai.
“Kami hanya mahu muzik kami dihayati oleh lebih ramai orang, itu sahaja,” kongsi Zed menutup bicara.