PETALING JAYA – Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) memohon maaf atas insiden pendingin hawa pesawat MH2710 tidak dapat dihidupkan yang berlaku semalam.
Malaysia Airlines dalam kenyataan berkata, pesawat yang mahu bertolak dari Kuala Lumpur ke Sandakan, Sabah itu didapati mengalami isu teknikal ketika enjin pesawat dihidupkan.
“Pesawat itu juga terpaksa kembali semula ke ruang menunggu (bay) selepas prosedur kali kedua untuk menghidupkan enjin gagal ketika melakukan ‘pushback’.
“Malaysia Airlines memohon maaf apabila pendingin hawa tidak dapat dihidupkan ketika proses baikpulih dilakukan menyebabkan persekitaran kabin menjadi panas,” katanya di sini hari ini.
Susulan insiden itu juga katanya, seorang penumpang memerlukan bantuan perubatan kecemasan.
“Penumpang kemudian dipindahkan ke pesawat lain yang berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 1.37 tengah hari dan selamat tiba di Sandakan pada pukul 4.30 petang.
“Pihak kami kesal dengan kelewatan terbabit dan memohon maaf sekali lagi atas ketidakselesaan sementara yang dialami penumpang,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan penumpang syarikat penerbangan berkenaan meluahkan rasa kecewa apabila terpaksa berpanas di dalam pesawat selama hampir satu jam.
Beberapa rakaman video memaparkan penumpang mengipas diri masing-masing menggunakan kertas atau buku turut tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE