GOMBAK – Mayat seorang lelaki warga Thailand ditemui terapung dan tersangkut di celah batu di Sungai Batu 12, Kilometer (KM) 24, Jalan Lama Gombak di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berikutan penemuan mayat lelaki berusia 31 tahun itu kira-kira pukul 3 petang.
Menurutnya, identiti mangsa telah disahkan adiknya yang tinggal bersama keluarga mereka di sebuah rumah yang terletak 200 meter dari lokasi mangsa ditemui.
“Hasil pemeriksaan fizikal pada badan mangsa terdapat kesan lebam pada dahi sebelah kanan, lebam di bahagian luaran kulit kelopak mata kiri dan kesan calar di bahagian belakang badan.
“Tiada sebarang kesan kecederaan luka di tubuh badan si mati. Namun, mangsa dipercayai telah terjatuh atau tergelincir ke dalam sungai berdasarkan luka-luka yang dialami,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zainal berkata, mangsa kali terakhir ditemui oleh ahli keluarganya sekitar pukul 2 pagi hari ini selepas makan dan bersiap untuk tidur di kediaman mereka.
“Hasil siasatan yang dijalankan Unit Forensik di rumah tersebut mendapati tiada sebarang tanda-tanda yang mencurigakan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE