PETALING JAYA – Tindakan seorang pengguna media sosial mengecam ibu bapa yang memakaikan kasut berbunyi untuk anak kecil mereka menimbulkan perdebatan antara netizen.
Melalui ciapan pengguna Twitter tersebut, dia berpendapat bahawa kanak-kanak yang sudah boleh berjalan tidak perlu dipakaikan kasut yang mengeluarkan bunyi kerana boleh menimbulkan suasana yang bising.
“Kalau anak dah boleh berjalan, tak payahlah pakaikan kasut ‘cot cet cot cet’ tu. Jadahnya sampai satu ‘mall’ nak dengar dia berlari,” ciapnya.
Pendapat pengguna itu mendapat pelbagai reaksi daripada netizen apabila ada yang menyokong kenyataan tersebut sementara ada juga yang mempersoalkan mengapa isu remeh seperti itu harus dipertikaikan.
“Maaflah, saya pakaikan anak saya kasut itu supaya saya tahu kedudukan anak di mana. Kadang-kadang mereka main sorok-sorok. Maaflah bingit, anak pula jenis cepat saja hilang bila kita lihat tempat lain,” kata Kinah.
“Kasihan tuan telinga berdarah dengar kasut anak kecil berbunyi. Kasut begitu mudah untuk ibu bapa kesan di mana anak mereka. Anak di usia begitu masih belum faham bahaya, tetapi teruja bila dapat berjalan,” kata Farwina.
“Hari itu pasal budak-budak ‘tantrum’ di kedai makan, orang bujang atau tak ada anak tak puas hati. Ini ulang yang pasal kasut budak bingit pula,” kata Iskandar.
“Jangan keluar rumah, duduk saja dalam gua tak perlu bermasyarakat,” kata Erin.
“Banyak betul benda yang boleh buat orang tak puas hati sekarang ini. Setiap hari ada saja isu berbangkit, kali ini pasal kasut budak kecil pun boleh jadi isu,” kata Lyn. – KOSMO! ONLINE