SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara terpaksa membayar harga mahal susulan kemenangan ke atas Thailand pada aksi pembuka tirai Kumpulan B Sukan SEA Vietnam 2021 selepas kehilangan dua tonggak utama untuk pertemuan menentang Laos malam esok.
Ketua jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney mengesahkan dua pemain terbabit, Azam Azmi Murad dan Hairiey Hakim Mamat kemungkinan tidak akan diturunkan ekoran kecederaan yang dilalui pada aksi tersebut.
Kata Maloney, Azam kemungkinan terpaksa direhatkan selama seminggu kerana mengalami kecederaan di kepala, manakala Hairiey pula masih dalam keadaan 50-50 memandangkan belum cergas sepenuhnya.
“Azam mengalami kecederaan teruk kerana mengalami gegaran di kepala pada aksi bertemu Thailand yang lepas tetapi mujurlah tidak serius. Namun, dia masih perlu berehat selama seminggu sebelum boleh diturunkan semula.
“Situasi berbeza dengan Hairiey yang mana dia mengalami bengkak di bahagian kaki dan barisan kejurulatihan masih belum memutuskan untuk menurunkannya dalam kesebelasan utama atau sebaliknya.
“Ini kerana, kami tidak mahu mengambil risiko jika kecederaannya bertambah parah andai diturunkan pada aksi bertemu Laos nanti,” kata pengendali import dari Australia itu.
Mengulas lanjut, Maloney mahu pasukannya memberikan tumpuan penuh untuk perlawanan menentang Laos dalam usaha mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan B sekali gus mencerahkan peluang untuk mara ke peringkat separuh akhir nanti.
“Masih terlalu awal untuk mengatakan Malaysia mampu melangkah ke pusingan seterusnya kerana kita mempunyai baki tiga perlawanan lagi.
“Justeru, perkara utama yang saya tekankan pada semua pemain adalah perlu fokus untuk aksi bertemu Laos untuk memastikan momentum cemerlang pasukan dapat diteruskan,” katanya.