KEMENANGAN skuad bawah 23 tahun (B-23) negara ke atas Thailand pada Sukan SEA Vietnam 2021 sedikit sebanyak menyuntik semangat pasukan bola sepak kebangsaan, namun perlu sedar bahawa perlawanan baru sahaja bermula.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menuntut skuad kendalian bimbingan Brad Maloney tidak leka, sebaliknya terus bekerja keras terutama perbaiki permainan daripada terus melakukan kesilapan mudah.
Skuad negara membuka kempen aksi Kumpulan B dengan langkah kanan apabila meraih kemenangan 2-1 ke atas Thailand di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.
“Pertama, saya kira dalam bola sepak ini kadang-kadang nasib akan beri kejayaan tetapi dalam pengalaman saya dalam perlawanan temasya seperti ini skuad negara perlu fokus.
“Saya fikir, untuk perlawanan akan datang skuad kendalian Brad Maloney ini perlu fokus dan kurangkan kesalahan dari segi penghantaran bola dan penerimaan bola.
“Dari segi keseluruhan seperti moral, permainan dan sikap pemain ada peningkatan. Apa pun, saya ingin ucap tahniah kepada pegawai dan juga jurulatih serta pemain apabila berjaya mengutip tiga mata.
“Saya harap mereka perlu fokus untuk melakukan persiapan dalam perlawanan seterusnya ketika menentang Laos, Singapura dan Kemboja,” katanya.
Pada awal permainan, skuad negara kelihatan sukar untuk menyaingi rentak Thailand dan gawang Malaysia bolos pada minit ke-33 menerusi jaringan Patrik Gustavsson yang bijak melepasi pertahanan Malaysia.
Tersentak dengan keadaan tersebut, permainan mula berubah dan Malaysia mula mengatur rentak sebelum berjaya meledak gol pada minit ke-61 menerusi Ahmad Danial Ahmad Asri.
Gol kemenangan Malaysia hadir menerusi Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar yang bijak memanfaatkan peluang untuk meraih tiga mata penuh sekali gus memberikan Malaysia permulaan sempurna.
Hasil kemenangan tersebut, Malaysia kini menerajui saingan Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata, sementara Laos dan Singapura berkongsi satu mata di kedudukan kedua dan ketiga. Kemboja pula berada di kedudukan keempat dan Thailand tercorot.
Pasukan negara akan meneruskan cabaran berdepan Laos pada Rabu ini, Singapura (14 Mei) dan menutup saingan kumpulan menentang Kemboja pada 16 Mei.