JAKARTA – Ketua Advokasi dan Hal Ehwal Masyarakat Pengangkutan Indonesia, Djoko Setijowarno menyatakan bahawa angka kematian bagi kemalangan jalan raya ketika musim perayaan Aidilfitri tahun ini menurun berbanding 2019, lapor laman berita Merdeka.
Berdasarkan data dari 25 April hingga 5 Mei lalu, terdapat 4,107 kes kemalangan jalan raya direkodkan dengan 568 kematian. Sementara itu, dalam tempoh yang sama pada 2019, terdapat 4,083 kes kemalangan jalan raya direkodkan dengan 824 orang maut.
“Ini menunjukkan jumlah mangsa meninggal dunia berkurang sebanyak 49 peratus,” kata Djoko.
Bagaimanapun, statistik tersebut masih berubah kerana aliran pulang ke kampung masih berterusan. Diramalkan kemuncak aliran berlaku pada kelmarin.
Sementara itu, Djoko berkata, disiplin dan kepatuhan rakyat negara itu terhadap peraturan jalan raya masih rendah.
“Masih ada pemandu yang memandu dalam keadaan letih dan menggunakan bahu jalan untuk berehat,” katanya.
Selain itu, terdapat banyak juga kes di mana trak pikap digunakan untuk mengangkut orang ramai serta lebih dua orang menunggang sebuah motosikal.
“Ironinya, tiada tindakan undang-undang dikenakan kerana polis trafik hanya memberi tumpuan terhadap kelancaran aliran lalu lintas untuk pulang ke kampung,” kata Djoko. – Agensi