PETALING JAYA – Penyanyi Elyana mendedahkan dia yang lebih dulu memulakan langkah melamar suaminya, Khairul Anuar Husin bagi memenuhi impian membina keluarga.
Kenangan penuh bermakna yang dilalui lebih sedekad lalu itu dikongsi menerusi Instagram bersempena sambutan Hari Ibu, semalam.
Kata pemilik nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal itu, dia memang bercita-cita untuk berkahwin awal dan menjadi seorang ibu sekali gus tidak kisah dengan tanggapan orang.
“Cita-cita saya dari dulu adalah ingin menjadi seorang ibu dan nak kahwin awal. Sebab itu saya yang melamar suami saya.
“Masa itu tak kisah langsung orang gelar perigi cari timba (kerana) yang penting nak kahwin. Alhamdulillah, tercapai,” kongsinya.
Elyana, 35, mendirikan rumah tangga dengan Khairul pada November 2010 yang ketika itu mengusahakan sebuah restoran Jepun selepas empat tahun berkenalan.
Perkahwinan mereka diserikan dua cahaya mata perempuan, Cinta Sumayyah, 11, serta Cahaya Ramadhani, 3, yang juga anak angkat.
Sebelum ini penyanyi Kalis Rindu itu menyifatkan Khairul dan anak-anak mereka sebagai sumber kekuatan untuknya terutama ketika berjuang melawan kanser limfoma.
Elyana disahkan bebas daripada kanser tahap empat yang dihidapi sejak 11 tahun lalu pada Disember 2021 malah kekuatan semangatnya menjadi sumber inspirasi kepada ramai pejuang kanser lain.
Sementara itu, menerusi hantaran sama, penyanyi tersebut turut mengambil peluang menitipkan doa kepada semua insan istimewa bergelar ibu supaya sentiasa dilimpahkan kesihatan berpanjangan.
“Semoga semua yang bergelar ibu di luar sana,diberikan umur yang panjang dan kesihatan yang baik untuk terus menjaga keluarga,” tulisnya lagi. – KOSMO! ONLINE