KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis memohon supaya kerajaan pusat dapat mempertimbangkan untuk melaksanakan semula Zon Aliran Bebas di sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian dekat sini bagi membangunkan semula ekonomi di kawasan itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, Wang Kelian menjadi pekan mati sejak kemudahan itu dimansuhkan pada 2015 manakala Wang Prachan di sebelah Thailand pula semakin rancak membangun.
Katanya, kawasan tersebut bakal berdepan dengan situasi sama yang berlaku di Bukit Kayu Hitam yang ketinggalan berbanding Danok, Thailand jika dibiarkan berterusan.
“Danok maju, Bukit Kayu Hitam pula kekal macam dulu. Saya tidak bermaksud untuk memberitahu kepada pihak-pihak berkenaan mengenai dasar apa yang perlu diadakan, namun dasar kita perlu betul jika tidak mahu negara kita rugi.
“Saya berharap apa yang berlaku di Wang Kelian dapat diperbetulkan supaya Malaysia, rakyat negeri ini dan juga penduduk setempat mendapat manfaat dan keuntungannya nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis di Dewan 2020 di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE