fbpx

Ops Selamat: 160 kematian dalam tempoh 10 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Sebanyak 15,947 kes kemalangan dan 160 kematian direkodkan di seluruh negara sepanjang 10 hari Ops Selamat 18 dilancarkan bermula 29 April lalu sehingga semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, jumlah kemalangan maut di seluruh negara itu meningkat tujuh peratus berbanding Ops Selamat pada 2019.

“Sebanyak 15,836 kemalangan dan 150 kematian telah direkodkan pada Ops Selamat tahun 2019.

“Selangor mencatatkan jumlah kemalangan tertinggi iaitu 3,343 kes dengan 21 kematian,” katanya.

Razarudin berkata, bagi hari terakhir Ops Selamat 18 semalam, Johor merekodkan 2,297 kes kemalangan, diikuti Perak (1,582) masing-masing 20 kematian.

“Sementara itu, sebanyak 17 kes maut di Kedah, Pahang (13), Negeri Sembilan dan Kelantan (12) serta Perlis dan Melaka (3).

“Selain itu, di Sarawak pula sebanyak 11 kes kemalangan maut dicatatkan manakala enam kes di Sabah,” ujarnya.

Jelasnya, Pulau Pinang merekodkan kemalangan maut sebanyak sembilan kes  di Terengganu pula lapan kes dan Kuala Lumpur lima kes.

Sebanyak 338,296 saman telah dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang 10 hari Ops Selamat 18 dilaksanakan.

“Ia meningkat sebanyak 114,847 saman bersamaan 51 peratus, berbanding saman dikeluarkan pada Op Selamat 15 iaitu 223,449 saman.

“Sebanyak 240,421 saman dikeluarkan kerana pandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat (4,375), memotong barisan (3,582), menggunakan alat komunikasi (1,991), memotong di garisan berkembar (1,202) dan memandu di lorong kecemasan (804),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI