Oleh KHAIRUL MOHD. ALI
JOHOR BAHRU – Seorang penghantar makanan bukan sahaja mengalami kecederaan akibat dilanggar sebuah kereta, malah turut terjatuh ke dalam longkang sedalam lebih satu meter.
Kejadian itu dilaporkan berlaku di kawasan berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Keembong 49, Taman Johor Jaya, di sini hari ini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya, Pegawai Bomba Kanan II, Kilok Anak Lampas berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 1.43 petang.
Katanya, sembilan pegawai dan anggota bersama dua jentera dikejar ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, mangsa, Saifuldin Ibrahim, 29, ditemui terjatuh ke dalam longkang sedalam lebih 1.5 meter akibat dilanggar sebuah kereta.
“Akibat kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian badan dan kaki kirinya. Dia kemudiannya diserahkan kepada pihak kesihatan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.-K! ONLINE.