fbpx

Stesen minyak dibenarkan tambah had simpanan petrol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Semua stesen minyak di seluruh negara dibenarkan untuk menambah had kuantiti simpanan terutama petrol RON95 bagi memastikan bekalan bahan api itu mencukupi semasa musim perayaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kadar kuantitinya ditentukan menerusi surat sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berdasarkan Garis Panduan Pelesenan Barang-Barang Kawalan Berjadual (CSA).

Menurut beliau, surat sokongan JBPM itu menerangkan had kuantiti simpanan yang sesuai bagi produk petroleum, diesel dan LPG.

“Justeru, setiap stesen minyak mempunyai kadar had kuantiti simpanan yang berbeza, tertakluk kepada luas premis dan sistem simpanan tangki bawah tanah (UGT) masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kementeriannya mengambil maklum aduan dan rungutan orang ramai berhubung isu bekalan petrol RON95 yang terjejas di beberapa kawasan di seluruh Negara seperti dilaporkan baru-baru ini.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan akan berlaku peningkatan jumlah kenderaan yang luar biasa di jalan raya sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, ia ekoran proses peralihan negara ke fasa endemik dan pembukaan sempadan negara yang membolehkan Keluarga Malaysia pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan memastikan bekalan bahan api kenderaan sentiasa mencukupi di stesen minyak seluruh negara, KPDNHEP telah mengambil tindakan awal dengan mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM).

“Ia bagi memastikan semua pengusaha stesen minyak berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI